Jawapan

Bismillah.

Menyedari tulisan sendiri bukan lagi memberi inspirasi (hatta pada diri sendiri), maka diri ini dengan penuh semangat menanam azam untuk kembali bangkit menjadi seorang Maisarah yang dulu, yang konon setiap perkataan yang terzahir mampu memberi makna, bukan cuma manifestasi rasa sendiri yang tak berpenghujung.

Betapa lah Tuhan yang satu itu Maha Pengasih, setiap persoalan hamba-Nya dibalas terus (bukan sekali dua, malah dah berkali kali pun). Dan, bagi aku itu sudah pasti suatu nikmat seorang hamba. Dihantarkan jawapan untuk setiap persoalan yang menjengah di benak fikiran, dalam bentuk ucapan manusia, mahupun fikrah yang secara perlahan menjelma dalam jiwa. Alhamdulillah untuk itu. Dan kerana jawapan jawapan yang telah diperlihatkan Tuhan, aku terasa untuk berkongsi, paling tidak sebagai bacaan aku di kala aku (bakal) tertanya mahupun 'jatuh' nanti.

Dalam tulisan lepas, aku secara santainya menyatakan pendirian untuk 'stay' (kalau nak faham, boleh cari post di bawah) dan membiarkan manusia manusia baik di sekeliling sebagai permata mahupun kaca, yang akan aku guna hanya bila perlu.

Lalu Tuhan mentakdirkan aku untuk merasai pengalaman berprogram 'islamik' yang pada asalnya aku sangat merasakan keterpaksaan untuk menyertainya, tapi demi kepercayaan untuk setiap hikmah yang bakal Tuhan hadiahkan, ku gagahkan jua kaki ini, paling tidak sebagai pemberat timbangan untuk ke syurga nanti. Dan paling banyak diceritakan tentang 'perubahan', ditayangkan gambaran keindahan syurga dan bidadari bidadari yang paling kurang, membuat jiwa aku cemburu, dan sedikit timbul rasa obsesi syurga itu, walau tidak di tahap mereka yang obsesinya tergambar dalam setiap amal. Dan mereka katakan, mereka kongsikan segala perit payah untuk kaki ini sampai ke syurga, tak mampu lah nak peroleh yang indah kalau diri sendiri berlagak kaku di tempat sendiri, menanti yang didamba datang bergolek. Dushh, tertumbuk diri ini, tertunduk malu sendiri. Mahu syurga, tapi mahu kekal di takuk lama?

Apa guna mempertahankan prinsip diri yang tak membina, yang mungkin dalam jangka masa singkatnya memberi bahagia namun untuk di akhir usia nanti, memakan diri sendiri.

Diceritakan lagi tentang ukhuwah, lagi jatuh terjelopok diri ini. Malu, segan, tertampar (panas pipi terasa). Betapa diri sendiri memilih erti dan definisi ukhuwah itu sampai ada yang digolongkan permata, kaca, berlian. Bukankah manusia itu sama? Dan sepanjang kehidupan seorang 'aku' ni, apa yang telah aku hadiahkan untuk setiap ukhuwah yang konon aku dah bina? Ataupun, selama ini bukan ukhuwah pun yang terbina, mungkin cuma hubungan yang tak bernilai di sisi Tuhan. Faghfirli, moga sahaja yang selama ini tidak sia sia.

Betapa hidup aku ni terlalu mencari bahagia dunia, aku sendiri hilang nilai sebagai seorang sahabat. Mungkin aku cuma sebagai watak yang mengisi kehidupan mereka, tapi tiada erti ukhuwah pun yang aku zahirkan sebagai sahabat mereka. Dalam yang dikongsi, ada diselitkan peranan dan nilai ukhuwah itu, dan sejujurnya jauh benar aku dari segala parameter yang ditetapkan itu. Terfikir sendiri, tertunduk hiba, memikirkan betapa tidak membei nilai diri ini kepada manusia di samping, khususnya buat mereka yang aku gelar (kononnya) teman baik.

Malu bertimpa lagi bila saat diceritakan segala kisah ukhuwah itu, yang di sisi teman baik sendiri. Saat itu, terasa mahu berlari jauh, mahu menghilangkan diri. Malu, malu dengan saudari yang di sisi (Cik L lah sebagai pengenalan). Maafkan aku, kalau memang selama ini aku bukan di sisi sebagai pemberat timbangan ke syurgamu, maafkan kalau yang aku zahirkan dalam ukhuwah kita sebagai penyeri dunia semata.

Sampai ke hari ini, mencari nilai dalam diri, harapnya ada juga yang mampu dizahir, sebab seorang Maisarah ini tak mampu untuk menjadi penyeri dunia semata, takut jiwa ini nanti merana kerana jengkel perasaan sendiri.

Rasanya tak tersampai maksud hati. Hmm. Kaitannya apa ya? Tak mengapa, moga tulisan ini mampu menyedarkan diri sendiri, jangan bongkak lagi. Hidup ini berTuhan, kau tak mampu hidup sendiri, wahai jiwa yang dipinjamkan Tuhan. Bangun dari mimpi, iman pun harap dah di-recharged bermula saat itu. Dan terima kasih untuk setiap jiwa yang dah menyentuh jiwa keras ini, dari Tuhan juga datangnya semua itu.

:)

Februari 10.

No comments:

Post a Comment

Say something